Tentang Saya
- Mohd Saifol Fairuz Bin Othman
- Kamunting, Perak, Malaysia
- Seorang Mahasiswa Kolej Universiti Insaniah tahun (tiga) jurusan Ijazah sarjana Muda Usuluddin dengan Kepujian.
Sabtu, 11 Jun 2011
Isnin, 6 Jun 2011
Fadhilat bulan Rejab..
Dengan izin Allah SWT, kita sudahpun berada di pertengahan bulan Rejab dalam tahun Hijrah 1432 ini. Jika diperhatikan, manusia berbeza-beza dalam menyambut kedatangan bulan Rejab setiap tahun.
Ada yang langsung tidak menyedari datang dan perginya Rejab kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan takwim Islam. Tidak kurang yang menyambut kedatangan Rejab dengan penuh gembira dan bersemangat serta mempertingkatkan amalan di dalamnya.
Ada pula yang menyambutnya dengan terlampau mempermasalahkan dan mempertikaikan keistimewaannya dan kewajaran menambahkan amalan padanya.
Kita merasakan bahawa mereka yang paling beruntung adalah mereka yang memahami dan mengenali Rejab serta menunaikan hak hari-harinya sebagaimana yang selayaknya tanpa melampau atau mencuaikan.
Bagi kebanyakan mereka yang meraikan kedatangan Rejab, bulan ini dirasakan begitu istimewa kerana ia menandakan hampir ketibaan tetamu agung, Ramadan al-Mubarak.
Ramadan sudah tentulah dirindui dan dinanti-nanti oleh setiap mereka yang beriman dan para pencinta Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Tempias kecintaan kita kepada Ramadan turut terkena pada Rejab dan Syaaban sebagai pengapit dan pendamping setia kepada Ramadan.
Keterkaitan dalam keberkatan bulan-bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan terlihat dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas r.a daripada Rasulullah SAW yang bererti, “Ya Allah, Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadan”. (diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam al-Syua’aab, Ibn Abi al-Dunya dan Ibn Sunniy).
Sebenarnya keistimewaan Rejab turut disebut di dalam al-Quran dengan menyenaraikannya sebagai salah satu daripada empat bulan haram. Allah berfirman yang maksud-Nya: Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram…. (at-Taubah: 36)
Para ulama bersepakat Rejab adalah antara bulan yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam ayat ini dan beberapa ayat lain. Jelas bahawa Allah SWT sendiri di dalam al-Quran telah memuliakan bulan Rejab dengan mengisytiharkannya sebagai salah satu daripada bulan-bulan haram.
Mengikut pandangan yang masyhur di kalangan ulama, Allah SWT juga telah memuliakan bulan Rejab dengan berlakunya di antara peristiwa terpenting dalam sirah Nabi SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj di dalamnya.
Sebagai golongan hamba-Nya yang terpilih, keistimewaan bulan Rejab tidak terlepas daripada pandangan ulama baik dahulu dan sekarang. Mereka telah menunjukkan contoh serta menggalakkan kita mempertingkatkan amalan dengan bersangka baik dengan Allah SWT bahawa dengan keberkatan bulan ini ganjaran amalan dan rahmat Allah SWT akan berlipat ganda. (Imam Ibn Jarir al-Tobari ada meriwayatkan pandangan Ibn Abbas r.a mengenai hal ini dalam tafsirnya).
Jika dikira hubungan Rejab, Syaaban dan Ramadan memang sesuailah kita lebih banyak berpuasa dan solat sunat, tilawah al-Quran, berzikir dan bersedekah sebagai membina momentum ke arah penghayatan Ramadan yang lebih cemerlang.
Sebahagian ulama menganjurkan kita membanyakkan istighfar di bulan Rejab dengan semangat al-Takhalliy iaitu untuk mengosongkan atau membersihkan diri kita. Ini disusuli penganjuran kita memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi SAW di bulan Syaaban sebagai fasa al-Tahalliy yang bererti mengisi atau memperhiaskan diri sesudah diri kita dikosongkan dan dibersihkan dengan istighfar dan taubat.
Sesudah kita bersiap dengan membersih dan memperhiaskan diri barulah layak untuk kita bertaqarrub langsung dengan Allah SWT (al-Tajalliy) dengan memperbanyakkan tilawah al-Quran, sepanjang Ramadan.
Jika direnungi, anjuran para ulama ini sangat mendalam falsafah dan hikmahnya demi membantu kita menghayati bulan-bulan yang mulia ini dengan lebih bermakna.
Jika menjadi keyakinan setiap mukmin bahawa hidup dunia ini sebagai suatu ujian atau peperiksaan besar, maka Ramadan dan segala hari dan bulan yang istimewa dalam Islam bolehlah dianggap sebagai kelas-kelas tambahan atau ujian-ujian latihan. Ia akan mendorong kita sentiasa peka dan siap-siaga dalam mengharungi proses ujian tersebut.
Dengan segala kelemahan yang ada pada diri insan adalah sukar untuk menempah kejayaan dalam ujian kehidupan ini jika kita tidak dapat menumpang belas ihsan dan rahmat Ilahi. Dan sememangnya Allah SWT maha kaya dengan sifat rahim, ihsan dan adil serta segala sifat-sifat kesempurnaan.
Di antara gambaran ihsan dan keadilan Allah SWT bagi kita para hambanya yang diletakkan dalam ujian yang getir ini, kita tidaklah dibiarkan sendirian tanpa panduan. Selari dengan fitrah manusia sukakan kepelbagaian, silih-berganti hari dan bulan Islam berserta dengan kaitannya dengan sirah Nabi memberi ruang untuk kita memperkukuhkan tautan kita dengan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.
Di bulan Rejab ini banyak masjid, surau dan institusi mengambil peluang mengadakan ceramah dan majlis Israk Mikraj. Perbuatan ini jika dianggap sebagai suatu adat dan tradisi untuk menghimpunkan orang ramai bagi mendekatkan diri mereka dengan agama tanpa dianggap sebagai suatu pensyariatan adalah suatu amalan yang terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana usul agama.
Malah para pendakwah dan mereka yang cintakan agama sepatutnya sentiasa mencari munasabah bagi menghimpun orang-ramai dalam majlis-majlis yang dipenuhi dengan penambahan ilmu, peringatan, doa dan zikir.
Inilah antara pandangan tokoh besar ulama dunia Islam, al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani r.a dalam tulisan khususnya mengenai Israk dan Mikraj bertajuk al-Anwar al-Bahiyyah min Isra’ wa Mi’raj Khayr al-Bariyyah.
Beliau turut menegur golongan yang menentang penganjuran majlis sedemikian dengan katanya: “Memanfaatkan perhimpunan orang ramai dengan memberikan peringatan, petunjuk, nasihat dan mengarahkan mereka kepada kebaikan adalah lebih utama daripada menghalang, menolak dan mengingkari perhimpunan mereka dengan alasan yang tidak ke mana. Selama ini pun, apa yang dapat dilihat tegahan mereka tidak pun memberikan sebarang kesan”.
Sememangnya peristiwa Israk dan Mikraj menyajikan pelbagai pengajaran untuk memperkukuhkan lagi ikatan iman umat. Selain antara mukjizat besar yang membuktikan kenabian Nabi kita SAW, ia telah menjadi saat umat Islam dianugerahi ibadah solat sebagai Mikraj roh kepada Allah setiap hari.
Ia juga memperjelaskan keistimewaan kedudukan kita sebagai umat Nabi SAW dengan sebab menumpang keistimewaan dan keutamaan Nabi SAW yang menjadi Imam segala Nabi dan Rasul. Melalui peristiwa tersebut kita juga diperingatkan realiti kehidupan akhirat dengan balasan azab dan nikmat yang akhirnya meletakkan segala yang kita lalui dan punyai dalam kehidupan ini dalam perspektifnya yang sebenar.
Inilah sekadar segelintir perkara iktibar di sebalik kehadiran bulan Rejab dan peristiwa Israk dan Mikraj yang wajar diperincikan lagi dan diulang-ulangkan.
Malangnya ada juga penceramah yang kurang berhati-hati lalu dalam membicarakan tentang peristiwa ini turut membahaskan isu-isu kontroversi seperti mensabitkan tempat dan sifat bagi Allah SWT, Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluknya.
Tokoh ulama mutakhir, Sheikh Yusuf al-Dijwi ada menegur tentang perkara ini dalam himpunan tulisan dan fatwanya.
Beliau menegaskan, adalah tidak wajar ayat-ayat mutashabihat berkaitan dengan isu ini dibicarakan kecuali di dalam majlis-majlis khusus di kalangan para ulama berdasarkan keperluan. (Maqalaat wa Fatawa al-Shaikh Yusuf al-Dijwi, (Kaherah, Dar al-Basoir, 2006) Jld 2, ms.724)
Semoga kita dikurniakan kesedaran, kesihatan, semangat dan himmah yang tinggi dalam naungan taufik untuk menunaikan hak setiap hari yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Semoga bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan kita tahun kita lebih baik daripada tahun sebelumnya.
Selasa, 31 Mei 2011
Nilai Sebuah Perubahan pada Jamaah Islam
2. Sifat positif pada sebuah perubahan yang digerakkan ialah untuk menganjak prestasi dan kualiti jamaah ke suatu tahap yang lebih baik dan cemerlang.
Situasi ini agak subjektif dan memerlukan penelitian yang serius dan halus agar ia tidak diurus secara rambang dan boros tanpa mengambil kira hikmah [kebijaksanaan] danhimmah nya [kewibawaan]. Tentunya kita tidak mahu usaha merubah dan membaiki jamaah menjadi seumpama tikus membaiki labu.
Selasa, 4 Januari 2011
Bani Israil dakwa golongan mereka sahaja betul
RAFI’ bin Huraimilah tidak beriman dengan Nabi Isa a.s. dan Injil. Dia mengaku hanya Nabi Musa sahaja yang benar, sedangkan orang-orang Kristian tidak benar. Berkata pula rombongan daripada Najran; “Golongan kamilah yang benar, manakala golongan kamu tidak benar dan telah ingkar kenabian Nabi Musa sahaja serta kitab Taurat.”
Lalu Allah SWT menurunkan firman- Nya yang disebut terdahulu yang menjelaskan orang-orang Yahudi mengatakan bahawa orang-orang Nasrani tidak ada apa-apa pegangan yang sebenar pada hal mereka itu semuanya membaca kitab. Mengapa mereka tidak membuka kitab Taurat yang dibawa oleh Nabi Musa a.s.? Kalaulah mereka itu buka kitab Injil nescaya terbuktilah siapa yang salah. Tetapi mereka tidak berani membuka kitab kerana apabila mereka melakukannya, maka akan terbukti kesalahan mereka.
Allah berfirman maksudnya: “Begitulah juga orang-orang yang tidak mengerti bercakap seumpama percakapan mereka itu.” (Al-Baqarah ayat 113) Ini termasuk manusia pada zaman sekarang yang degil dengan kebenaran, tidak bersedia membuka al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w untuk menjadi bahan rujukan. Golongan ini termasuklah di dalam keterangan firman Allah SWT di mana Allah mengatakan begitulah juga (Allah SWT sebut tanpa berselindung lagi), berkata orang-orang yang tidak mengerti seumpama kata orang Yahudi dan Nasrani.
Masing-masing mendakwa diri masing-masing betul dan mereka tidak bersedia untuk balik kepada kitab Allah. Memang Allah SWT bersifat dengan Maha Mengetahui dan sememangnya manusia yang jenis seperti itu keras hati, tidak bersedia untuk menerima kebenaran dan petunjuk daripada Allah SWT.
Jawapannya ialah firman Allah yang bermaksud: “Maka Allahlah yang menghukum di kalangan mereka pada hari kiamat.” (Al-Baqarah ayat 113)
Jika semua mahu berdegil, maka tunggulah kiamat dan kita semuanya akan mati tidak kira apa jenis fahaman kita, sama ada yang berpihak kepeda kebenaran atau kebatilan. Sekiranya semua berdegil maka tunggulah Allah menjadi hakim pada hari kiamat dan sesungguhnya keputusan Allah adalah keputusan yang muktamad pada apa-apa yang mereka perselisihkan. (Ayat 113 surah al-Baqarah)
Mereka itu akan kembali kepada Allah dan Dia sahaja yang akan memberi keputusannya. Inilah apa yang berlaku di
atas dunia hari ini. Orang Komunis berkata fahaman komunis sahaja yang betul, orang yang pakar undang-undang manusia mengatakan undang-undang manusia betul dan mereka pula berbalah sesama sendiri.
Kita yang mahu kepada Islam pula mengatakan bahawa Islam sahajalah yang betul manakala mereka pula mengatakan Islam tidak betul. Ada pula yang membahagikan Islam kepada berbagaibagai jenis dan bentuk rupa.
Pertelingkahan golongan hak dan batil
Ada yang mengatakan bahawa kalau kita mahu kepada Islam, kita mestilah Islam semua sekali termasuk sembahyang, puasa zakat, haji dan semua urusan hidup dalam erti kata mesti mengikut hukumhukum yang ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran.
Ada pula yang mengatakan bahawa kita laksanakanlah sekadar Islam yang kita mahu melaksanakannya, manakala hukum atau peraturan yang kita rasa tidak mahu melaksanakannya, tidak mengapa ditinggalkan. Ada yang mengatakan inilah yang betulnya. Inilah bentuk pertelingkahan yang berlaku di kalangan Yahudi dan Nasrani dan inilah juga pertelingkahan yang berlaku di kalangan orang yang tidak mengerti dan tidak tahu akan agama Allah, maka semua mereka akan ditemukan oleh Allah pada hari kiamat.
Semua mereka akan dibicarakan di hadapan Allah pada hari kiamat dan sesungguhnya keputusan Allah adalah keputusan yang Maha Adil dan Maha Bijaksana. Kalau semua berkata merekalah yang betul, Abu Jahal dan Abu Lahab pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. juga mengakui bahawa mereka di atas jalan yang hak walaupun mereka menegakkan benang basah.
Walaupun apa yang mereka tegakkan itu suatu yang batil, mereka tetap mengatakan ia adalah benar. Sekiranya manusia mahu berkata seperti itu maka tunggulah hari kiamat. Hari kiamat itu pasti berlaku. Sekiranya manusia ini percaya kepada hari kiamat, dia akan gerun. Apabila manusia itu gerun dia akan kembali kepada kitab Allah, kepada hukum Allah.
Dia tidak mahu berdegil kalau dia bersalah, maka dia akan kembali ke jalan yang sebenar. Kalau dia betul maka dia akan bersyukur kepada Allah SWT, kalau seseorang itu tidak berapa percaya kepada hari kiamat, maka beratlah hukuman ke atasnya di akhirat kelak. Ataupun hari kiamat dia percaya juga tetapi hari kiamat itu dia pandang ringan sahaja sebab hari kiamat tidak dapat dilihat dengan mata kepalanya pada hari tersebut. Dengan keadaan seperti itu, maka ramailah orang yang berdegil dan tidak bersedia untuk kembali kepada yang hak.
Tunggulah, masing-masing akan menerima akibatnya pada hari kiamat. Yang benar, akan menerima balasan kebenarannya dan yang tidak benar akan menerima akibat kebatilannya pada hari itu.
Firman Allah SWT dalam ayat 114 dan 115 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.(114) Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah; Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa mengetahui.” (115)
Dinukil daripada buku kuliah Tafsir ‘Usaha jahat Yahudi’ oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang, muka surat 25-30, terbitan Dewan Muslimat Sdn Bhd, 1999
Jumaat, 16 April 2010
Penggunaan Kalimah Allah
Dato’ Seri Abdul Hadi Awang Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Dr Mohd Nur ManutyAhli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Dr Mohd Asri Zainal AbidinMantan Mufti Perlis
22 Januari 2010
